KUALA LUMPUR – Pengerusi Eksekutif NexG Berhad, Datuk Ishak Ismail tampil mempertahankan kedudukan syarikat itu susulan laporan media dan pandangan beberapa ahli akademik yang mempersoalkan operasi, tadbir urus serta kontrak kerajaan melibatkan syarikat berkenaan.
Dalam satu kenyataan rasmi, NexG menegaskan bahawa semua operasi dan keputusan korporatnya dilaksanakan mengikut rangka kerja kawal selia yang ketat sebagai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Syarikat itu menjelaskan bahawa setiap langkah strategik termasuk pengambilalihan dan keputusan perniagaan telah diumumkan secara telus, melalui semakan pihak berkuasa dan kelulusan pemegang saham apabila diperlukan.
Datuk Ishak Ismail dalam kenyataannya berkata, sebarang cadangan seperti audit forensik atau penggantungan kontrak kerajaan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa bukti kukuh. Menurut beliau, tindakan sedemikian memerlukan asas undang-undang dan bukti yang jelas, bukan sekadar spekulasi awam yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap projek infrastruktur negara.
Mengulas isu laporan kewangan, NexG turut menjelaskan bahawa kerugian nilai saksama (fair value losses) yang dibangkitkan adalah pelarasan perakaunan bukan tunai mengikut piawaian pelaporan kewangan, dan tidak melibatkan kehilangan sebenar dana atau salah guna kewangan seperti yang disalah tafsir sesetengah pihak.
Dalam perkembangan sama, syarikat itu mengakui isu-isu lalu termasuk yang dikaitkan dengan individu tertentu telah pun ditangani. NexG kini beroperasi di bawah lembaga pengarah baharu dengan mandat jelas untuk memperkukuh integriti, ketelusan dan disiplin dalam pengurusan korporat.
Sehubungan itu, NexG menegaskan komitmennya untuk terus mematuhi peraturan, mengukuhkan tadbir urus serta menyokong kepentingan nasional khususnya dalam sektor teknologi keselamatan. Syarikat itu turut menggesa semua pihak agar merujuk kepada fakta yang sahih dan pendedahan rasmi sebelum membuat sebarang kenyataan awam.






