KUALA LUMPUR: Silver Ridge Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Silver Ridge Sdn Bhd, berjaya memperoleh kontrak bernilai RM42.88 juta daripada Kementerian Pendidikan bagi membekalkan komputer riba kepada guru-guru di Sarawak.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan penyedia penyelesaian telekomunikasi itu memaklumkan anak syarikatnya menerima surat setuju terima bertarikh 16 Disember 2025 bagi pelaksanaan projek pembekalan komputer riba secara skim sewa beli di sekolah dan institusi pendidikan di Zon 2, melibatkan negeri Sarawak.
Kontrak tersebut akan berjalan selama 64 bulan, bermula 1 Januari 2026 hingga 30 April 2031. Tempoh pelaksanaan merangkumi empat bulan awal bagi kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian serta pengoperasian, diikuti tempoh sewaan selama 60 bulan.
Silver Ridge berkata, projek itu adalah selaras dengan aktiviti perniagaan teras kumpulan dan tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham terbitan, modal berbayar, aset bersih sesaham atau nisbah keberhutangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Bagaimanapun, lembaga pengarah berpandangan kontrak berkenaan berpotensi menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan dan pendapatan masa depan kumpulan, tertakluk kepada tiada perkembangan luar jangka sepanjang tempoh pelaksanaan.





