KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, bagi membantu siasatan berhubung projek Lebuh Raya Putrajaya–KLIA (MEX 2).
Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata individu berusia 44 tahun itu kali terakhir beralamat di A16-2 Sunway Pallazio, Jalan Sri Hartamas 3, Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Agensi itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Penguasa Sharan Raj Govindasamy di talian 014-3560771 atau melalui emel [email protected].
Difahamkan, siasatan tertumpu kepada projek lebuh raya yang menghubungkan Persimpangan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan beberapa aspek berkaitan kelulusan dan proses perolehan sedang diperiksa.
Pengesanan ini dibuat hanya beberapa bulan selepas Adam Radlan dilepas dan dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa, setelah beliau membayar kompaun RM4.1 juta yang ditawarkan SPRM.
Mahkamah Sesyen sebelum ini dimaklumkan bahawa kompaun itu dipersetujui susulan representasi yang dihantar pihak pembelaan, dengan Hakim Suzana Hussin membenarkan pelepasan tersebut atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh.
Dalam kes Jana Wibawa, Adam Radlan dituduh meminta suapan antara 3.5% hingga 7% daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat. Beliau juga didakwa menerima RM500,000 bagi membantu syarikat itu mendapatkan surat sokongan projek pembinaan Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis, bernilai RM47.8 juta.
Selain itu, beliau menghadapi pertuduhan menerima RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh untuk membantu Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa, selain didakwa meminta RM2 juta daripada Tian Chuan bagi tujuan sama.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi. Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM3 juta bawah Seksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001, didakwa dilakukan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.
SPRM setakat ini belum mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan berkaitan projek MEX 2, namun menegaskan keperluan Adam Radlan tampil bagi membantu melengkapkan siasatan. Agensi itu juga menggesa orang ramai menyalurkan maklumat segera sekiranya mengetahui keberadaannya.







